Monday, September 8, 2008

[Winter 2008] Bara No Nai Hanaya


Tajuk: Bara No Nai Hanaya
Tajuk Dalam Bahasa Inggeris: The Flower Shop Without Roses
Format:
Renzoku
Genre: Drama, Romantik
Episod: 11

Sinopsis:
Shiomi Eiji (Katori Shingo) adalah seorang pemilik kedai bunga. Pada suatu hari, seorang wanita buta tumpang berteduh dibawah kanopi kedai Eiji. Eiji adalah seorang bapa tunggal kepada Shiomi Shizuku (Yagi Yuki), anak perempuan yang lahir hasil dari percintaan Eiji dengan kekasihnya. Kekasih Eiji berkenaan mengalami komplikasi ketika melahirkan Shizuku dan meninggal dunia. Eiji mulai dingin terhadap cinta kerana kematian kekasihnya.

Pertemuan Eiji dan wanita buta yang bernama Shirato Mio (Takeuchi Yuko) yang berteduh di bawah kanopi kedai bunganya menganjur kepada lebih dari sekadar Eiji memberikan pertolongan kepada Mio. Mio mulai bergantung kepada kebaikan dan lemah lembut sifat Eiji. Tanpa Eiji sedari, salji musim dinginnya bakal mencair dan cinta musim bunga bakal hadir ke dalam hidup Eiji.

Pendapat:
Drama ini memaparkan kemahiran berlakon bagi Katori Shingo (Galileo) membawa watak sebagai lelaki yang sanggup berkorban demi orang yang tidak dia kenali. Watak yang dibawakan oleh Shingo sangat berkesan dan tidak melampaui batas logik akal seperti kebanyakkan watak "innocent" yang kebaikan mereka tidak logik di akal. Cara penulis drama ini menunjukkan sikap baik Shingo yang berkait dengan pengalaman masa lepasnya memberikan makna terhadap kebaikan Shingo.

Eiji & Mio

Pengenalan watak Mio yang dibawakan oleh Takeuchi Yuko (Lunch No Joou, Pride) menjadikan plot drama ini bergerak agak pantas biarpun terdapat adegan melodramatik yang mungkin membosankan.

Drama ini mempamerkan kekuatan penulisannya apabila setiap watak pembantu dikaitkan dengan baik antara satu sama lain dan menyokong perhubungan antara Eiji dan Mio. Tiada watak pembantu yang dibazirkan tanpa sebarang fungsi dan bagaimana cara penulis drama ini memaparkan kekuatan hubungan sesama manusia mampu membuatkan aku menangis sendiri. Hubungan antara Eiji dan Shizuku juga memainkan peranan dalam percaturan kisah cinta Eiji dan Mio. Namun, keikhlasan Mio dipersoalkan apabila plot drama mendedahkan bahawa Mio sebenarnya tidak buta.

Takeuchi Yuko

Aku menonton drama ini atas dasar rating yang diterima oleh drama ini yang agak memberangsangkan. Takeuchi Yuko sangat cantik di dalam drama ini berbanding di dalam Lunch No Joou dan Katori Shingo benar-benar layak untuk watak Eiji. Perhubungan antara Eiji dan Mio nampak sangat mengesankan dan serasi seolah-olah kedua-dua mereka sememangnya bercinta.

Shaku Yumiko

Kehadiran Matsuda Shota (LIAR GAME, Jotei), Shaku Yumiko (Kiken Na Aneki) menambahkan lagi barisan pelakon yang kacak dan cantik kepada drama ini.

Yagi Yuki

Namun, watak yang paling mencuri tumpuan aku adalah Shizuku yang dilakonkan oleh Yagi Yuki (Boku No Aruku Michi) yang amat comel dan bijak sekali melakonkan watak Shizuku. Yuki memang bijak membawakan watak Shizuku dan mampu membuatkan aku menangis dan ketawa pada satu masa.

Rating: 5/5 (Drama kekeluargaan dan cinta yang mendesak emosi! Barisan pelakon yang menarik di pandangan dan boleh membawakan watak dengan baik.)

Laman Download (subtitle disertakan): Download Bara No Nai Hanaya*

Nota kaki:
*
Download dari keluaran Love Song fansub untuk subtitle bahasa Inggeris.

Monday, August 18, 2008

[Spring 2002] One Million Stars Falling From The Sky


Tajuk:
One Million Stars Falling From The Sky ~The Smile Has Left Your Eyes~
Format: Renzoku
Genre: Misteri, Romantik
Episod: 11

Sinopsis:
Drama ini bermula apabila Dojima Kanzo (Akashiya Sanma) menyiasat kes bunuh diri seorang pelajar perempuan dari universiti berdekatan. Walaupun kes berkenaan seolah-olah kes bunuh diri tetapi bahan bukti menunjukkan pelajar perempuan berkenaan dibunuh dan mayatnya dicampakkan keluar dari balkoni rumah. Beberapa klu telah membawa Dojima Kanzo berhadapan dengan Katase Ryo (Takuya Kimura); seorang pembantu chef masakan Perancis. Kanzo dan Ryo sering bertemu secara kebetulan antara satu sama lain dan perasaan curiga Kanzo terhadap Ryo semakin menebal berikutan setiap pertemuan mereka. Setiap klu yang ditemui oleh Kanzo selepas itu membawa kepada lebih banyak persoalan mengenai personaliti Ryo, teman wanita Ryo yang obses dengan Ryo, dan perhubungan Ryo dengan pelbagai wanita. Hubungan Ryo dan Kanzo menjadi lebih menekan apabila Ryo mulai berhubung dengan Yuko (Fukatsu Eri); adik Kanzo. Kanzo amat yakin bahawa Ryo adalah pembunuh dalam kes pelajar perempuan berkenaan tetapi bukti yang tidak mencukupi tidak membolehkan Ryo disabitkan. Keadaan semakin meruncing buat Kanzo untuk melindungi Yuko dari tangan Ryo apabila Ryo terlibat dalam kes pembunuhan teman Kanzo tetapi Kanzo tidak juga dapat disabitkan kerana bukti yang tidak mencukupi. Apakah Kanzo akan berjaya menyelamatkan Yuko? Siapakah Ryo dan kenapa Ryo terlibat dalam kes pembunuhan teman Kanzo?

Pendapat:
Aku menonton drama ini setelah membaca cadangan dari forum D-Addicts. Sememangnya aku tidak menyesal menonton drama ini kerana plot drama yang walaupun boleh diagak tetapi meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada aku.

One Million Stars Falling From Sky!

Takuya Kimura (Engine, CHANGE) dan Fukatsu Eri (CHANGE, Narita Rikon) bergandingan didalam drama ini dan kedua-dua mereka adalah pasangan yang serasi bagi membawakan watak pasangan kekasih. Takuya Kimura mempamerkan kemahiran lakonannya apabila dia membawakan watak "gelap" seperti Ryo. Sepanjang menonton drama yang dilakonkan oleh Takuya Kimura, tidak pernah terlintas di fikiran aku bahawa Takuya Kimura akan melakonkan watak negatif seperti di dalam drama ini.

Yuko & Ryo

Plot yang berselirat diuraikan secara perlahan-lahan sepanjang cerita dan biarpun aku sudah mampu mengagak kesimpulan cerita ini dari episod pertengahan lagi tetapi konflik yang diceritakan dan emosi yang dipamerkan benar-benar buatkan aku terpana sendiri. Ditambah dengan skor muzik yang menaikkan emosi, drama ini membuatkan emosi setiap yang menonton beralun bersama plot yang semakin menarik. Bagaimanapun, pengakhiran cerita ini memang membuatkan aku terfikir mengenainya sepanjang 2 - 3 hari. Impak terhadap emosi, plot yang menarik dan kemuncak konflik yang menarik, drama ini lebih dari sekadar aktor dan aktres bermuka kacak/cantik dan wajib dijadikan tontonan oleh semua peminat drama jepun dan juga peminat Takuya Kimura. Tak mampu aku nak memberikan pendapat lagi tanpa membocorkan plot dan jalan cerita maka kepada yang berminat untuk menonton, boleh mendownload dari D-Addicts secepat mungkin.

Rating: 5/5 (Memberikan impak emosi mendalam! Plot dan jalan cerita yang berselirat dan digarap dengan baik)

Laman Download: Download One Million Stars Falling From The Sky*
Subtitle Download:
Subtitle One Million Stars Falling From The Sky**

Nota kaki:
*
Sila download "batch file"
**Juga sila download "batch file"

Tuesday, July 15, 2008

[Autumn 2007] Utahime


Tajuk: Utahime
Tajuk Dalam Bahasa Inggeris: Diva
Format: Renzoku
Genre: Romantik
Episod: 11

Sinopsis:
Koizumi Akira adalah anak kepada seorang diva terkemuka. Dia ditinggalkan tunangnya kerana sikapnya yang acuh tak acuh dan juga pergantungan dia yang keterlaluan dengan ibunya. Ibu Akira menyuruhnya mengembara ke sebuah kampung kecil di daerah Kochi untuk menonton filem. Filem berkenaan telah menjadi inspirasi kepada ibu Akira untuk berjaya seperti sekarang dan dia mengharapkan Akira dapat mengubah sikapnya sesudah menonton filem berkenaan.

Drama ini berkisar mengenai filem berkenaan yang juga mengambil tempat di kampung kecil itu pada tahun 1950an. Filem itu berkisar Shimanto Taro; seorang askar kamikaze yang dijumpai terdampar di pantai di kampung berkenaan. Apabila Taro sedarkan diri, dia sedar bahawa dia telah hilang ingatannya yang lalu. Taro telah dijadikan anak angkat kepada keluarga yang menyelamatkannya. Keluarga berkenaan mempunyai 2 orang anak perempuan dan Suzu; salah seorang anak perempuan keluarga itu mempunyai hubungan yang rapat dengan Taro. Pada mulanya, Taro dan Suzu cumalah abang dan adik yang membesar bersama-sama tetapi apabila Suzu membesar, perasaan Suzu terhadap Taro berubah. Suzu mula mencintai Taro walaupun dia tidak tahu latar belakang Taro yang sebenarnya.

Taro bekerja di panggung wayang milik keluarga berkenaan. Taro juga ramah dan mesra dengan semua penduduk kampung itu dan disukai ramai walaupun mereka tidak mengetahui latar belakang Taro yang sebenarnya. Taro mempunyai hubungan yang mesra dengan nelayan bernama Geruman tetapi mereka selalu sahaja bertengkar dan bergaduh kerana perkara-perkara kecil.

Apakah cinta Suzu dan Taro berjaya? Adakah memori lama Taro akan kembali?

Pendapat:
Drama ini adalah antara drama terbaik yang pernah aku tonton! Drama yang berkisar bukan sahaja di antara Taro dan Suzu tetapi juga berkaitan dengan semua penduduk kampung berkenaan. Setiap watak diberikan ruang yang cukup untuk memberikan sokongan terhadap perkembangan kisah cinta antara Taro dan Suzu. Watak Geruman, Mary, Sabako, James dan Croissant memberikan warna yang berbeza kepada Taro dan Suzu. Watak di dalam keluarga Suzu juga memberikan impak terhadap perhubungan.

Perkara yang membuatkan aku menonton drama ini adalah Aibu Saki (Attention Please, Karei Naru Ichizoku) yang sangatlah comel. Aibu Saki memiliki lesung pipit, bermuka bulat dan perangainya yang agak keanak-anakan. Aibu Saki di dalam Utahime sememangnya comel dengan perangai keanak-anakannya tetapi amat garang apabila Taro membuat sebarang kesalahan. Suzu juga suka "membelasah" Taro kerana kesalahan yang Taro lakukan.
Aibu Saki

Nagase Tomoya (My Boss My Hero, Tiger & Dragon) adalah salah satu lagi sebab kenapa aku menonton drama ini. Watak Nagase di dalam drama ini merangkumi 3 watak sekaligus membuktikan kemampuan Nagase sebagai pelakon yang hebat. Lawak-lawak dan mimik muka yang keterlaluan menjadi kunci utama kekuatan Nagase dan drama ini juga menampilkan aspek yang sama. Walaupun begitu, Nagase juga berjaya menonjolkan diri di dalam plot-plot serius yang mampu menyentuh hati setiap yang menonton.

Koike Eiko (Satorare, Yama Onna Kabe Onna) menampilkan variasi watak baru yang lebih serius dari wataknya di dalam Yama Onna Kabe Onna dan juga di dalam Satorare. Koike lebih menyerlah jika dibandingkan dengan lakonannya sebelum ini dan watak yang diberikan kepadanya menolong dia membangunkan potensi yang telah lama terpendam. Keiko juga boleh dikatakan sebab aku menonton Utahime kerana kecomelannya yang bermuka bulat dan banyak cakap.

Koike Eiko

Secara keseluruhannya, drama ini adalah antara drama terbaik yang memberikan impak kepada aku. Drama yang digarap dengan amat baik, hubungan antara wanita muda dan lelaki matang berjalan dengan lancar, dan pembangunan watak yang sempurna dan berkait memberikan rasa yang dekat di hati apabila menonton drama ini. Mungkin episod awalnya agak membosankan tetapi aku tidak menyesal apabila aku membuat keputusan untuk menonton drama ini sehingga habis. OST drama ini nyanyian TOKIO (kumpulan dimana Nagase Tomoya menjadi vokalis) bertajuk Seisyun dan change the world dari Eric Clapton.

Akhiran drama ini mungkin akan mengecewakan beberapa pihak tetapi dari segi keseluruhannya, drama ini memang menghiburkan!

Rating: 4.5/5 (Plot yang agak perlahan di episod awal)

Laman Download : Download Utahime
Subtitle : Subtitle Utahime

Trivia:
1) Utahime secara literalnya bermaksud "Puteri Lagu".
Uta = lagu
Hime = puteri

2) Mempunyai rating yang rendah di Jepun dikatakan kerana dialek Tosa yang sukar difahami oleh orang di kawasan Kanto; kawasan Tokyo dan sekelilingnya.

Sunday, July 13, 2008

[Winter 2008] Hachimitsu To Clover


Tajuk: Hachimitsu To Clover
Tajuk Dalam Bahasa Inggeris: Honey & Clover
Format: Renzoku
Genre: Romantik, persahabatan
Episod: 11

Sinopsis:
Takemoto Yuta, Yamada Ayumi, Mayama Takumi dan Morita Shinobu adalah 4 sahabat di universiti yang mengkhususkan dalam bidang seni. Takemoto dalam pengkhususan arkitek bersama dengan Mayama. Morita pula di dalam bidang seni ukir dan arca manakala Ayumi di dalam bidang pembuatan bekas tanah liat. Takemoto bertemu dengan Hanamoto Hagumi, seorang pelukis berbakat tetapi suka menyendiri di bawah pohon sakura ketika hari pertama musim bunga. Hagumi adalah anak saudara kepada pensyarah bidang seni lukis di universiti berkenaan.

Cerita percintaan dan persahabatan mereka bermula apabila Takemoto mendapati dirinya mulai sukakan Hagumi tetapi dia tidak dapat meluahkan perasaannya kepada Hagumi. Morita dalam pada masa yang sama juga sukakan Hagumi dan sememangnya terkenal dengan luahan perasaannya yang bersahaja. Ayumi pula sukakan Mayama tetapi Mayama mencintai seorang wanita yang menguruskan syarikat reka bentuk dalaman dan konsep dimana Mayama bekerja sambilan.

Kisah percintaan bersegi-segi mereka diselitkan dengan pengembaraan emosi dan fizikal dalam diri mereka mengenali jati diri dan cita-cita mereka. Adakah mereka akan kekal sebagai kawan atau adakah cinta lebih berkuasa?

Pendapat:
Drama ni adalah adaptasi dari komik dengan tajuk yang sama. Drama ni agak bosan bagi aku dengan perjalanan cerita yang berlanjutan tanpa betul-betul ada arah tuju dan signifikan terhadap perkembangan perhubungan cinta mahupun persahabatan mereka. Faktor aku menonton drama ini adalah kerana Narumi Riko (Juken No Kamisama) yang amatlah comel. Dalam Juken No Kamisama (God of Exam), Narumi memegang watak sebagai tutor kepada pelajar sekolah rendah. Dia memiliki aura serius tetapi perkara berkenaan sungguh berbeza dalam Honey & Clover. Narumi biarpun masih lagi kurang dialog tetapi mempamerkan emosi yang lebih positif dan menambahkan kecomelan dirinya. Harada Natsuki (Hana Kimi) juga menjadi sasaran baru bagi aku untuk menambahkan koleksi awek-awek Jepun yang comel untuk ditonton.

Narumi Riko

Harada Natsuki

Bagi peminat Johnny's Entertainment, drama ini mengandungi banyak aktor yang kacak-kacak yang senang dipandang. Ikuta Toma (Hana Kimi) dan Mukai Osamu (Nodame Cantabile, Bambino!, Osen) pasti menambat hati ramai wanita dan gadis-gadis.

Faktor seni yang ditonjolkan sebagai landasan memberikan kurang impak terhadap penerimaan aku dalam drama ni. Seni dilihat sebagai bosan dan mendatar maka perkaitan antara seni dan percintaan didalam drama ni biarpun menarik dan penuh falsafah tetapi kurang dapat diselami oleh kebanyakkan orang. OST yang menarik dan menyayat hati dari Hirai Ken sedikit mengubati kekecewaan aku terhadap drama ini. Keseluruhannya, drama ni bukanlah yang terbaik untuk ditonton dan seperti juga keseluruhan musim sejuk 2008, tiada drama yang menghiburkan untuk ditonton.

Rating: 2.5/5 (Plot perlahan amat, plot tiada arah tujuan, landasan penceritaan yang membosankan; seni)

Laman Download (subtitle disertakan) : Download Honey & Clover

Trivia:
Hachimitsu To Clover juga dikenali sebagai HachiKuro kerana singkatan dari Hachi (Hachimitsu) dan Kuro (Kuroba - cara orang jepun menyebut Clover).

Hachi = nombor 8
Kuro = hitam

HachiKuro = Nombor 8 Hitam = Black 8? Kelakar jugak bila fikirkan kekreatifan orang jepun memendekkan nama ni.

Saturday, July 12, 2008

[Spring 2008] Around 40


Tajuk: Around 40
Format: Renzoku
Genre: Drama, komedi
Episod: 11

Sinopsis:
Around 40 berkisar mengenai 3 orang sahabat iaitu Satoko, Nao dan Mizue. Drama ini satu ekspresi mengenai masalah wanita mencecah umur 40 tahun. Seperti mana pepatah popular, Life start at 40, Satoko, Nao dan Mizue mengalami permasalahan sendiri. Satoko yang bekerja sebagai psikologis berumur 39 tahun, Nao bekerja sebagai pembantu editor majalah berumur 35 tahun dan Mizue berumur 39 tahun bekerja sebagai surirumah sepenuh masa. Satoko adalah definisi wanita yang bahagia dengan hidupnya dan mengalami kesulitan mengenai perkahwinan. Dia berminat mengenai perkahwinan tetapi taraf hidupnya sebagai psikologis yang berpendapatan agak mewah memberikan dia mentaliti yang tinggi terhadap lelaki yang mahu dikahwininya.

Nao pula mengalami kompleks dalam hidupnya apabila dia mengishtiharkan bahawa dia tidak akan berkahwin dan akan menumpukan perhatian terhadap kerjaya. Tetapi akhirnya dia mengalah terhadap takdir perkahwinan dan berkahwin apabila dia tidak berjaya mendapatkan jawatan ketua editor bagi sebuah majalah baru terbitan syarikatnya.

Mizue pula mengalami kompleks dalam mencari dirinya yang sebenar. Dia tidak mahu kalah kepada orang lain tetapi dia tidak dapat menyesuaikan diri untuk mengambil langkah untuk mengatasinya. Dia dilayan dingin oleh suami dan anaknya dan tekanan terhadap diri Mizue semakin bertambah ekoran sikap suami dan anaknya.

Apakah Satoko akan berkahwin akhirnya? Apakah Nao akan mendapatkan kebahagian dalam rumah tangga dan kerjaya? Adakah Mizue berjaya mengatasi kompeks dalam dirinya?

Pendapat:
Bagi aku, drama ini AMAT menarik untuk ditonton. Faktor utama untuk aku menonton drama ini adalah Yuki Amami (Top Caster, Jyoou No Kyoshitsu) dan Otsuka Nene (Iryu 2). Kedua-dua mereka memang diklasifikasikan sebagai wanita berumur yang cantik. Permasalahan mereka bukan sahaja berkisar soal perkahwinan tetapi juga konflik dalam diri untuk mendapatkan kepastian mengenai kewujudan setiap mereka kepada masyarakat dan kerjaya. Boleh dikatakan drama ini diformulasi dengan kemas dan memberikan ruang kepada setiap dari kita untuk menyelami perasaan setiap watak.

Kalau aku terus bercerita kemungkinan terdapat banyak plot cerita bocor tetapi aku rasa patut aku beritahu sikit. Satoko bertemu dengan seorang lelaki yang amat kedekut dan tidak memahami wanita. Lelaki berkenaan adalah Keitaro yang akhirnya menjadi rakan sekerja Satoko. Nao pula berkahwin dengan produser konsep hiasan yang telah lama meminati Nao. Mizue pula cuba mencari kerja sambilan bagi membolehkan dirinya berbakti semula kepada masyarakat. Pergolakan berkenaan antara kerjaya dan perkahwinan, soal kebahagian yang dicari dan persoalan cinta yang terpendam. Terdapat banyak isu yang disentuh oleh drama ini dan membuatkan aku terasa terisi sebaik sahaja setiap episod habis. Hampir setiap isu yang dibincangkan memberikan lebih persoalan dan plot bagi drama ini untuk terus bergerak.

Bagi aku, drama ini telah ditulis dengan baik dan digarapkan oleh pelakon yang berwibawa. Isu yang digarapkan dengan baik membuatkan plot yang perlahan menjadi menarik ditonton. Kitchen sink realism drama seperti ini jarang sekali ditulis dengan baik membuatkan penonton berasa bosan untuk menonton. Drama ini mempunyai lawak sinikal yang menghiburkan tetapi bagi aku, Kekkon Dekinai Otoko lebih menarik bagi persoalan yang sama dan juga corak lawak sinikal yang ditonjolkan.

Rating: 4/5 (Kekurangan dari segi plot yang kadang kala agak membosankan bagi orang yang tidak sabar sangat seperti aku)

Laman Download: Download Around 40
Subtitle: Subtitle Around 40