Tuesday, July 15, 2008

[Autumn 2007] Utahime


Tajuk: Utahime
Tajuk Dalam Bahasa Inggeris: Diva
Format: Renzoku
Genre: Romantik
Episod: 11

Sinopsis:
Koizumi Akira adalah anak kepada seorang diva terkemuka. Dia ditinggalkan tunangnya kerana sikapnya yang acuh tak acuh dan juga pergantungan dia yang keterlaluan dengan ibunya. Ibu Akira menyuruhnya mengembara ke sebuah kampung kecil di daerah Kochi untuk menonton filem. Filem berkenaan telah menjadi inspirasi kepada ibu Akira untuk berjaya seperti sekarang dan dia mengharapkan Akira dapat mengubah sikapnya sesudah menonton filem berkenaan.

Drama ini berkisar mengenai filem berkenaan yang juga mengambil tempat di kampung kecil itu pada tahun 1950an. Filem itu berkisar Shimanto Taro; seorang askar kamikaze yang dijumpai terdampar di pantai di kampung berkenaan. Apabila Taro sedarkan diri, dia sedar bahawa dia telah hilang ingatannya yang lalu. Taro telah dijadikan anak angkat kepada keluarga yang menyelamatkannya. Keluarga berkenaan mempunyai 2 orang anak perempuan dan Suzu; salah seorang anak perempuan keluarga itu mempunyai hubungan yang rapat dengan Taro. Pada mulanya, Taro dan Suzu cumalah abang dan adik yang membesar bersama-sama tetapi apabila Suzu membesar, perasaan Suzu terhadap Taro berubah. Suzu mula mencintai Taro walaupun dia tidak tahu latar belakang Taro yang sebenarnya.

Taro bekerja di panggung wayang milik keluarga berkenaan. Taro juga ramah dan mesra dengan semua penduduk kampung itu dan disukai ramai walaupun mereka tidak mengetahui latar belakang Taro yang sebenarnya. Taro mempunyai hubungan yang mesra dengan nelayan bernama Geruman tetapi mereka selalu sahaja bertengkar dan bergaduh kerana perkara-perkara kecil.

Apakah cinta Suzu dan Taro berjaya? Adakah memori lama Taro akan kembali?

Pendapat:
Drama ini adalah antara drama terbaik yang pernah aku tonton! Drama yang berkisar bukan sahaja di antara Taro dan Suzu tetapi juga berkaitan dengan semua penduduk kampung berkenaan. Setiap watak diberikan ruang yang cukup untuk memberikan sokongan terhadap perkembangan kisah cinta antara Taro dan Suzu. Watak Geruman, Mary, Sabako, James dan Croissant memberikan warna yang berbeza kepada Taro dan Suzu. Watak di dalam keluarga Suzu juga memberikan impak terhadap perhubungan.

Perkara yang membuatkan aku menonton drama ini adalah Aibu Saki (Attention Please, Karei Naru Ichizoku) yang sangatlah comel. Aibu Saki memiliki lesung pipit, bermuka bulat dan perangainya yang agak keanak-anakan. Aibu Saki di dalam Utahime sememangnya comel dengan perangai keanak-anakannya tetapi amat garang apabila Taro membuat sebarang kesalahan. Suzu juga suka "membelasah" Taro kerana kesalahan yang Taro lakukan.
Aibu Saki

Nagase Tomoya (My Boss My Hero, Tiger & Dragon) adalah salah satu lagi sebab kenapa aku menonton drama ini. Watak Nagase di dalam drama ini merangkumi 3 watak sekaligus membuktikan kemampuan Nagase sebagai pelakon yang hebat. Lawak-lawak dan mimik muka yang keterlaluan menjadi kunci utama kekuatan Nagase dan drama ini juga menampilkan aspek yang sama. Walaupun begitu, Nagase juga berjaya menonjolkan diri di dalam plot-plot serius yang mampu menyentuh hati setiap yang menonton.

Koike Eiko (Satorare, Yama Onna Kabe Onna) menampilkan variasi watak baru yang lebih serius dari wataknya di dalam Yama Onna Kabe Onna dan juga di dalam Satorare. Koike lebih menyerlah jika dibandingkan dengan lakonannya sebelum ini dan watak yang diberikan kepadanya menolong dia membangunkan potensi yang telah lama terpendam. Keiko juga boleh dikatakan sebab aku menonton Utahime kerana kecomelannya yang bermuka bulat dan banyak cakap.

Koike Eiko

Secara keseluruhannya, drama ini adalah antara drama terbaik yang memberikan impak kepada aku. Drama yang digarap dengan amat baik, hubungan antara wanita muda dan lelaki matang berjalan dengan lancar, dan pembangunan watak yang sempurna dan berkait memberikan rasa yang dekat di hati apabila menonton drama ini. Mungkin episod awalnya agak membosankan tetapi aku tidak menyesal apabila aku membuat keputusan untuk menonton drama ini sehingga habis. OST drama ini nyanyian TOKIO (kumpulan dimana Nagase Tomoya menjadi vokalis) bertajuk Seisyun dan change the world dari Eric Clapton.

Akhiran drama ini mungkin akan mengecewakan beberapa pihak tetapi dari segi keseluruhannya, drama ini memang menghiburkan!

Rating: 4.5/5 (Plot yang agak perlahan di episod awal)

Laman Download : Download Utahime
Subtitle : Subtitle Utahime

Trivia:
1) Utahime secara literalnya bermaksud "Puteri Lagu".
Uta = lagu
Hime = puteri

2) Mempunyai rating yang rendah di Jepun dikatakan kerana dialek Tosa yang sukar difahami oleh orang di kawasan Kanto; kawasan Tokyo dan sekelilingnya.

1 comment:

intan said...

saya baru abis tngok citer ni...sangat sangat best ;)