Monday, September 8, 2008

[Winter 2008] Bara No Nai Hanaya


Tajuk: Bara No Nai Hanaya
Tajuk Dalam Bahasa Inggeris: The Flower Shop Without Roses
Format:
Renzoku
Genre: Drama, Romantik
Episod: 11

Sinopsis:
Shiomi Eiji (Katori Shingo) adalah seorang pemilik kedai bunga. Pada suatu hari, seorang wanita buta tumpang berteduh dibawah kanopi kedai Eiji. Eiji adalah seorang bapa tunggal kepada Shiomi Shizuku (Yagi Yuki), anak perempuan yang lahir hasil dari percintaan Eiji dengan kekasihnya. Kekasih Eiji berkenaan mengalami komplikasi ketika melahirkan Shizuku dan meninggal dunia. Eiji mulai dingin terhadap cinta kerana kematian kekasihnya.

Pertemuan Eiji dan wanita buta yang bernama Shirato Mio (Takeuchi Yuko) yang berteduh di bawah kanopi kedai bunganya menganjur kepada lebih dari sekadar Eiji memberikan pertolongan kepada Mio. Mio mulai bergantung kepada kebaikan dan lemah lembut sifat Eiji. Tanpa Eiji sedari, salji musim dinginnya bakal mencair dan cinta musim bunga bakal hadir ke dalam hidup Eiji.

Pendapat:
Drama ini memaparkan kemahiran berlakon bagi Katori Shingo (Galileo) membawa watak sebagai lelaki yang sanggup berkorban demi orang yang tidak dia kenali. Watak yang dibawakan oleh Shingo sangat berkesan dan tidak melampaui batas logik akal seperti kebanyakkan watak "innocent" yang kebaikan mereka tidak logik di akal. Cara penulis drama ini menunjukkan sikap baik Shingo yang berkait dengan pengalaman masa lepasnya memberikan makna terhadap kebaikan Shingo.

Eiji & Mio

Pengenalan watak Mio yang dibawakan oleh Takeuchi Yuko (Lunch No Joou, Pride) menjadikan plot drama ini bergerak agak pantas biarpun terdapat adegan melodramatik yang mungkin membosankan.

Drama ini mempamerkan kekuatan penulisannya apabila setiap watak pembantu dikaitkan dengan baik antara satu sama lain dan menyokong perhubungan antara Eiji dan Mio. Tiada watak pembantu yang dibazirkan tanpa sebarang fungsi dan bagaimana cara penulis drama ini memaparkan kekuatan hubungan sesama manusia mampu membuatkan aku menangis sendiri. Hubungan antara Eiji dan Shizuku juga memainkan peranan dalam percaturan kisah cinta Eiji dan Mio. Namun, keikhlasan Mio dipersoalkan apabila plot drama mendedahkan bahawa Mio sebenarnya tidak buta.

Takeuchi Yuko

Aku menonton drama ini atas dasar rating yang diterima oleh drama ini yang agak memberangsangkan. Takeuchi Yuko sangat cantik di dalam drama ini berbanding di dalam Lunch No Joou dan Katori Shingo benar-benar layak untuk watak Eiji. Perhubungan antara Eiji dan Mio nampak sangat mengesankan dan serasi seolah-olah kedua-dua mereka sememangnya bercinta.

Shaku Yumiko

Kehadiran Matsuda Shota (LIAR GAME, Jotei), Shaku Yumiko (Kiken Na Aneki) menambahkan lagi barisan pelakon yang kacak dan cantik kepada drama ini.

Yagi Yuki

Namun, watak yang paling mencuri tumpuan aku adalah Shizuku yang dilakonkan oleh Yagi Yuki (Boku No Aruku Michi) yang amat comel dan bijak sekali melakonkan watak Shizuku. Yuki memang bijak membawakan watak Shizuku dan mampu membuatkan aku menangis dan ketawa pada satu masa.

Rating: 5/5 (Drama kekeluargaan dan cinta yang mendesak emosi! Barisan pelakon yang menarik di pandangan dan boleh membawakan watak dengan baik.)

Laman Download (subtitle disertakan): Download Bara No Nai Hanaya*

Nota kaki:
*
Download dari keluaran Love Song fansub untuk subtitle bahasa Inggeris.

No comments: